Friday, July 27, 2012

Kenangan Sekolah Rendah

Tempoh persekolahan adalah suatu era yang sangat indah dan manis sekali. Yong ingin berkongsi pengalaman era itu dengan pembaca.

Era sekolah rendah Yong berada di antara akhir 1950 - 1960 an. Yong bersekolah kampung jer! Sekolah pun kecil dan kami kenal antara satu sama lain. Maklumlah budak-budak kampung tu juga, tak ada orang luar.

Antara kenangan yang masih diingati ialah aktiviti sekolah ini yang menjadi budaya pulak. Setiap pagi, selepas berbaris masuk kekelas, sementara menunggu Guru masuk, semua murid-murid kelas ( Darjah 3 - Darjah 5 ) akan membaca sifir- sifir yang ada tercetak di belakang buku latihan. Kami akan membaca dengan satu melodi dan rentak bagi memudahkan untuk menghafal sifir-sifir tuu.

Sifir-sifir itu bermula dari sifir 1 x 2 = 2 sehingga 12 x 12 = 144. Kalau Cikgu masih tak masuk lagi, bacaan diteruskan untuk sifir Timbangan dan Sukatan pula. Yong percaya anak-anak sekarang tidak tahu, tak pernah dengar ataupun lihat sukatan dan timbangan itu. Contoh sifir Timbangan seperti 12 tahil = 1 kati, 100 kati = 1 koyan .... sementara contoh sifir Sukatan pula ialah 4 kepul = 1 cupak, 4 cupak = 1 gantang ... Yong pun dah tak ingat lagi.

Apabila Cikgu masuk kelas, beliau akan memanggil sesiapa saja untuk membaca sifir yang dipilihnya tanpa murid itu melihat buku latihan, maknanya setiap murid kena hafal semua sifir tuu. Kalau tak hafal akan dapat hadiah lah, rotan ditapak tangan!

Bukan semua murid hafal sifir-sifir tuu, jika terpanggil murid yang nakal, dengan selamba dia akan hanya menyanyi ( melodi sifir) tu jer! Apabila Cikgu tanya, dia akan beri jawapan yang dia hanya tahu lagu sifir sahaja dan terlupa lirik sifir tuu. Apalagi rotan ditapak tangan lah hadiahnya!

Yong rasa sangat bangga dengan BUDAYA tu, sebab ia membuatkan Yong minat dengan Ilmu Hisab (Matematik).

Sekian dulu, InsyaAllah kita sambung lagi.

No comments:

Post a Comment